AGENDAJENAYAH

Polis panggil Maba bantu siasatan bintang Jalur Gemilang pecah lima

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Polis telah memanggil Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) kerana dipercayai memaparkan Jalur Gemilang bintang pecah lima pada majlis perasmian kejohanan bola keranjang di Stadium Maba, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya telah memanggil presiden Maba Datuk Lua Choon Hann ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 8 pagi tadi untuk diambil keterangan.

Beliau berkata Tan menjelaskan bahawa kejadian sedemikian bukanlah berpunca daripada pihak Maba sebaliknya pihak konsultan teknologi maklumat.

“Presiden Maba ada berjumpa dengan saya pagi tadi untuk memperjelaskan kejadian sebenar dan saya meminta beliau untuk buat laporan polis di Balai Polis Tun H.S Lee.

“Pihak konsultan berkenaan juga dipanggil dan disiasat sekiranya kejadian ini mempunyai motif tertentu sama ada disengajakan atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas istiadat penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), di sini.

Beliau berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes itu.

Selain itu, Mazlan juga menasihatkan mana-mana pihak perlu memeriksa dan memastikan spesifikasi Jalur Gemilang sempurna untuk sesuatu majlis atau acara rasmi.

Hari ini, pihak Maba mengeluarkan permohonan maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang pecah lima ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28 semalam.

Pada majlis penganugerahan itu, seramai 332 penerima PJPN yang terdiri daripada 207 pegawai kanan dan pegawai rendah polis Kuala Lumpur yang masih berkhidmat serta 125 pesara polis.

PJPN dianugerah kepada petugas-petugas polis sebagai menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa era darurat.

-BERNAMA


Pengarang :