AGENDANASIONAL

Polis tahan lima lelaki, rampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.1 juta

SHAH ALAM, 1 NOV: Polis menahan lima lelaki warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan seberat 36.24 kilogram bernilai RM2.1 juta dalam tiga serbuan berasingan di Seri Kembangan dan Pandan Indah, dekat sini pada Khamis serta semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tangkapan ke atas kelima-lima pengedar dadah tersebut dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang sejak beberapa minggu lepas.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira 1.30 tengah hari Khamis itu, dua lelaki berumur 28 dan 20 tahun ditahan di sekitar Seri Kembangan ketika dipercayai sedang bersedia untuk ‘berurus niaga’ dadah.

“Kedua-dua suspek menaiki kereta secara berasingan dan bertemu di satu kawasan parkir. Mereka kemudiannya membuka bonet kereta seorang daripada suspek dan bersama-sama mengeluarkan satu bagasi lalu meletakkannya di atas jalan.

“Ketika itulah kedua-dua mereka ditahan. Hasil pemeriksaan ke atas bagasi berkenaan menemui 21 paket plastik lutsinar dan 12 bungkus plastik teh cina mengandungi serbuk serta ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu kira-kira seberat 32.84 kilogram dengan anggaran nilai RM1.64 juta,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berumur 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual kenderaan bertindak sebagai transporter dadah dan memiliki tiga rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah manakala seorang lagi suspek tanpa rekod jenayah pula merupakan pembantunya.

Dalam serbuan kedua pada hari yang sama, Noor Azam berkata seorang lelaki berumur 29 tahun ditahan kira-kira 3.30 petang di sebuah restoran makanan segera di sekitar Seri Kembangan.

“Siasatan terhadap penjual sayur di Pasar Borong Selayang itu membawa kepada pemeriksaan ke atas kenderaannya dan menemui 140 keping foil aluminium mengandungi 1,400 pil eramin 5 dianggarkan bernilai RM28,000 disimpan di dalam bonet kereta tersebut,” katanya sambil menambah suspek tiada rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua suspek bagi kedua-dua kes tersebut dipercayai mula mengedar dadah sejak enam bulan lepas dan mendapatkan bekalan itu di sekitar Lembah Klang untuk pasaran di lokasi sama.

Tambah beliau, kesemua mereka direman bermula Rabu lepas hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Bagi kes ketiga pula, Noor Azam berkata dua lelaki berumur 47 dan 45 tahun ditahan di hadapan sebuah pusat dandanan rambut di Pandan Indah kira-kira 3.30 petang semalam kerana disyaki membawa dua bungkusan plastik mengandungi dadah.

“Pemeriksaan ke atas suspek menemui 8,710 pil ekstasi dengan anggaran berat tiga kilogram dipercayai bernilai RM435,500 dibawa dalam beg plastik berkenaan. Semakan mendapati, penganggur berumur 47 tahun itu mempunyai satu rekod jenayah manakala rakannya tiada rekod lampau,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek yang disyaki aktif sejak enam bulan lepas itu akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Mengulas lanjut mengenai ketiga-tiga kes berkenaan, beliau berkata hasil ujian urin mendapati kesemua lelaki itu positif pelbagai jenis dadah dan turut disita tiga kenderaan milik mereka serta wang tunai dengan jumlah keseluruhan sitaan RM136,180.

-BERNAMA


Pengarang :