AGENDANASIONAL

Pos Malaysia bakal guna alamat digital

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Pos Malaysia bercadang mewujudkan sistem menggunakan alamat digital atau geocode dalam usaha menambah baik sistem perkhidmatan pos dan kurier di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, melalui sistem itu, setiap individu akan dikenal pasti menerusi geocode tersendiri, sekali gus memudahkan penghantaran bungkusan.

“Ini akan memudahkan proses mencari penerima-penerima dan pastikan bahawa barang yang dihantar kepada mereka tidak lewat diterima, tetapi itu masih dalam proses dan ia sebahagian daripada proses pendigitalan Pos Malaysia.

“Saya berharap dapat membuat pengumuman berkenaan dengan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (PH-Iskandar Puteri) berhubung rancangan kementerian menambah baik sistem perkhidmatan pos.

Sementara itu, Gobind berkata, kerajaan telah membina 92 menara komunikasi yang beroperasi di sekitar kawasan perkampungan Orang Asli di seluruh negara, manakala enam lagi menara baharu kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini.

“Proses penambahbaikan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan luar bandar termasuklah perkampungan Orang Asli adalah proses yang berterusan dari semasa ke semasa,” katanya menjawab soalan asal Guan Eng berhubung kadar ketersambungan bukan internet, surat-menyurat, siaran radio dan televisyen di petempatan Orang Asli.

Bagi akses siaran platform di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula, beliau berkata, masyarakat Orang Asli telah mula menerima siaran radio sejak Siaran Orang Asli ditubuhkan pada 3 Februari 1959 menerusi gelombang pendek kebangsaan yang boleh diakses di seluruh negara.

“Daripada siaran setengah jam, siaran itu yang kini dikenali sebagai ASYIKfm bersiaran selama 15 jam setiap hari dan RTM sentiasa menambah baik kadar tembusan akses radio ini,” katanya dan menjelaskan siaran itu juga boleh didengari melalui aplikasi RTM mobile, internet radio streaming dan siaran radio menerusi televisyen NJOI Astro di saluran 875 serta saluran MyFreeview.

Bagi akses siaran televisyen, saluran-saluran RTM seperti TV1, TV2, TV Okey dan Saluran Percubaan Berita kini boleh diakses secara 100 peratus di seluruh negara menerusi platform digital MyFreeview melalui inisiatif Pendigitalan Penyiaran Nasional, katanya.

Sementara itu, Gobind memaklumkan, beliau akan mengadakan satu taklimat untuk semua ahli Parlimen pada minggu depan berhubung projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

– BERNAMA


Pengarang :