AGENDABERITA UTAMA

Prestasi kewangan Selangor meningkat 4.93 peratus

SHAH ALAM, 5 NOV: Prestasi kewangan terkini kumpulan wang disatukan sehingga 30 September 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak 4.93 peratus kepada RM2,240.66 juta berbanding RM2,135.37 juta pada tahun 2018.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jumlah itu terdiri daripada RM23.83 juta wang tunai dan RM2,216.83 juta wang bagi pelaburan.

“Rizab Kerajaan Negeri Selangor adalah dipegang bagi maksud Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan.

“Kedudukan Rizab Kerajaan pada 30 September 2019 adalah sebanyak RM2,240.66 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM828.79 juta, Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1,401.78 juta dan Akaun Pinjaman Disatukan sebanyak RM10.09 juta,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan rizab kerajaan dengan meningkatkan prestasi kutipan hasil, mengawal perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan serta memastikan peningkatan kedudukan kewangan di dalam Akaun Hasil Disatukan.

Amirudin berkata, antara usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan rizab kerajaan di dalam keadaan baik adalah dengan memperkemas dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah penjimatan di dalam menguruskan perbelanjaan wang awam.

“Kerajaan Negeri sentiasa menekankan prinsip ketelusan, keupayaan dan kebertanggungjawaban serta akauntabiliti dalam semua urusan bagi memastikan nilai serta kualiti bagi perbelanjaan yang dikeluarkan dalam semua urusan adalah yang terbaik melalui kaedah perolehan holistik,” katanya.


Pengarang :