EXCOSELANGOR

Prinsip pengasingan punca ADN tidak dilantik penasihat PBT

SHAH ALAM, 13 NOV: Prinsip pengasingan kuasa menjadi faktor utama Kerajaan Negeri tidak bercadang melantik Ahli Dewan Negeri (ADN) sebagai penasihat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

Namun, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata kesemua PBT dminta untuk mengadakan sesi pertemuan bersama wakil rakyat yang terlibat.

“Sesi perjumpaan antara ADN dan ahli parlimen termasuk dari pembangkang diadakan sebanyak empat kali setahun supaya komunikasi dua hala dapat dilaksana bagi memberi ruang lebih terbuka dalam melontarkan pendapat dan idea,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Shaid Rosli (PAKATAN-Jeram) pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Sze Han berkata, sesi pertemuan antara PBT itu juga membolehkan setiap ADN memainkan peranan dalam memberi teguran atau nasihat bagi memastikan pembangunan di kawasan masing-masing terkawal dan sejahtera.

“Ingin ditegaskan sekali lagi, Kerajaan Negeri tidak bercadang membuat lantikan sebegini kerana ADN adalah individu yang berkuasa membuat undang-undang,” katanya.


Pengarang :