PUTRAJAYA, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) berpeluang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, namun penyokong termasuk pemimpin perlu terus bekerja kuat dan berkempen, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya harap penduduk di sana (Tanjung Piai) sedar bahawa kemenangan PAKATAN bermakna janji boleh ditunaikan kerana kami menjadi kerajaan di peringkat Johor dan pusat.
“… kemenangan Barisan Nasional (BN) atau MCA umpamanya, kalau mereka menang pun mereka tidak boleh buat apa-apa kerana tidak dapat tukar kerajaan Johor dan pusat. Ini sesuatu yang kita harap pengundi akan mengambil kira dan memberi undi kepada PAKATAN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PAKATAN, di sini malam tadi.
PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.
PAKATAN berdepan dengan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.
-BERNAMA