AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRK Tanjung Piai: Pengundi atas pagar penentu kemenangan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kira-kira 18 peratus pengundi atas pagar akan menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kata Pengerusi Kluster Pendidikan Politik dan Demokrasi Institut Darul Ehsan (IDE), Amidi Abdul Manan.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dibuat institut itu, pengundi berkenaan yang merupakan golongan kali pertama dan kedua mengundi akan membuat keputusan berdasarkan keberkesanan kempen parti bertanding selain pengaruh media.

“Kelompok pengundi ini masih belum memutuskan untuk memilih mana-mana parti dan bakal membentuk keputusan sama ada akan menjadi satu pernyataan ketidakpuasan hati atau sokongan kepada kerajaan,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Selain itu, Amidi berkata penyokong tegar yang telah membuat pilihan terhadap parti masing-masing merupakan kelompok yang besar di Tanjung Piai.

“Hasil kajian mendapati sekitar 70 peratus daripada kelompok ini telah pun membuat pilihan berkaitan dengan parti. Ini menunjukkan bahawa pengundi tegar itu tidak lari, malah jumlah pengundi tegar masih lagi sama buat Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili PAKATAN pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Calon PAKATAN berdepan calon BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.

-BERNAMA


Pengarang :