AGENDANASIONAL

PRK Tanjung Piai: SPRM buka bilik gerakan

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuka bilik gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan jika berlaku sebarang perbuatan rasuah atau salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

SPRM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam itu ditempatkan di Kompleks Pejabat SPRM Johor, Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi, Johor Bahru.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau aduan menerusi e-mel dan hantar ke [email protected] atau menghubungi talian 07-213 600/07-213 6170 atau 019-654 4680 atau faks 07-2356982,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, SPRM menasihatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya, selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Bagi tujuan pemantauan dan penyelarasan, SPRM turut akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan PRK yang berlangsung bebas daripada aktiviti rasuah.

PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan, Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua orang calon Bebas.

Ia diadakan selepas penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

-BERNAMA


Pengarang :