EXCOSELANGOR

Projek Pematuhan Syariah HIJRAH dalam proses kelulusan

SHAH ALAM, 6 NOV: Penyelidik Universiti Selangor (UNISEL) sudah menghantar kertas cadangan Projek Pematuhan Syariah Hijrah Selangor (HIJRAH) kepada pejabat Dato’ Menteri Besar dan dalam proses mendapatkan kelulusan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata inisiatif itu selaras hasrat memastikan HIJRAH terus mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat serta membentuk amalan urus tadbir berkualiti.

“Yayasan HIJRAH dengan kerjasama UNISEL yang diketuai Prof Dr Zaharuddin Abd Rahman (Prof Adjung UNISEL) dibarisi lima penyelidik yang merancang membuat penyelidikan bagi menilai serta memberi cadangan penambahbaikan ke arah pengurusan, tadbir urus dan kawalan pematuhan syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PAKATAN-Sungai Kandis) pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah berkata beberapa elemen penumpuan turut diberi perhatian bagi menambah baik skim berkenaan termasuk proses, operasi serta produk patuh syariah.


Pengarang :