Amirudin Shari menandatangani plak simbolik Perasmian Projek Tebatan Banjir berlangsung di Padang Jawa, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Projek tebatan Sungai Rasah atasi masalah banjir

KLANG, 26 NOV: Masalah banjir yang menghantui orang ramai yang melalui persimpangan Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa berakhir berikutan siapnya projek tebatan sungai bernilai RM60 juta.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, projek membabitkan kerja menaik taraf jalan dan peparitan di persimpangan terbabit disiapkan dalam tempoh lima tahun.

“Projek yang dimulakan pada tahun 2014 dengan kos RM60 juta ini berjaya disiapkan walaupun terdapat beberapa cabaran ketika kerja-kerja dijalankan.

“Projek ini juga membabitkan kerja naik taraf jalan daripada satu lorong dua hala kepada jalan berkembar dua lorong dua hala sepanjang 2.08 kilometer,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyiapan Projek Cadangan Tebatan Banjir di Jalan Sungai Rasah dan Jalan Padang Jawa, di sini, hari ini.

Wakil media mengambil gambar sistem perparitan yang telah dinaik taraf bagi tujuan tebatan banjir di kawasan Padang Jawa, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hadir sama EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail.

Amirudin berkata, projek ini juga membabitkan kerja-kerja menaik taraf persimpangan, menaik taraf lampu jalan dan lampu isyarat di kawasan tersebut.

Selain itu, katanya, ketinggian jalan terlibat juga dinaikkan kira-kira satu meter bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang.


Pengarang :