Zuraida Kamaruddin (tengah) menyerahkan alat pemadam api kepada Pegawai Khas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup, Md Hafizuddin Mohd Salleh (empat, kanan) pada Program Kayuhan Bomba Komuniti di kawasan Tanjung Piai, hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rakyat sambut baik kempen Wanita PAKATAN di Tanjung Piai

PONTIAN, 13 NOV: Gerak kempen Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berjaya mendapat maklum balas positif daripada masyarakat berbilang kaum dalam kawasan Parlimen itu.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata berdasarkan sambutan yang diterima sepanjang tempoh kempen, kebarangkalian untuk parti itu mengekalkan kerusi Parlimen berkenaan adalah sangat tinggi.

“Saya mendapat persepsi dan pandangan yang positif kebolehan kita untuk menang kerusi Tanjung Piai.

“Malahan sambutan masyarakat Cina, India dan sebagainya juga amat menggalakkan. Saya tidak menafikan kebarangkalian untuk (PAKATAN) menang sangat tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Program Kayuhan Bomba Komuniti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri di sini, hari ini.

Berhubung program berkenaan, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata seramai 100 anggota bomba komuniti menyertai kayuhan sejauh 12 kilometer bermula dari Pejabat Jabatan Kastam sehingga Taman Negara Tanjung Piai.

Katanya ia bertujuan menyerahkan kit keselamatan kepada ketua kampung dan pengerusi masjid di beberapa buah kampung.

“Sebulan sekali bomba komuniti atau sukarelawan akan membuat aktiviti seperti kayuh basikal dan sebagainya.

“Ini antara latihan kerana ada ketika mereka harus gunakan basikal untuk cepat sampai ke kawasan terbakar, kecemasan memandangkan kebanyakan kawasan kampung kecil…jadi mereka boleh beri bantuan dengan cepat,” katanya.

Katanya setakat ini terdapat kira-kira 2,500 bomba komuniti seluruh negara.

“Hampir separuh daripadanya berada di Sabah kerana (Sabah) mempunyai kawasan pedalaman yang banyak, jadi banyak bomba komuniti diwujudkan.

“Kita memang menggalakkan sekurang-kurangnya satu (bomba komuniti) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi ini lebih (jumlah bomba komuniti) daripada kita harapkan.

“Memang perlu ada untuk bantu pasukan bomba induk apabila ada kecemasan ataupun kebakaran di kawasan pedalaman tertentu,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :