AGENDANASIONAL

Ramai pihak mahu taja Orang Asli tunai haji

KOTA BHARU, 3 NOV: Kesedaran tinggi dalam kalangan penyumbang terhadap ibadah Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji mendorong banyak pihak kini berminat untuk menaja lebih ramai Orang Asli untuk ke Tanah Suci.

Pengetua Madrasah Pengajian Islam (MPI), Suhaidah Suhaimi berkata, bagi memenuhi tawaran tajaan seterusnya, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan simulasi kepada pelajar Orang Asli di madrasah berkenaan untuk mereka lebih memahami cara menunaikan haji.

“Sebelum ini, kami hanya mengajar mereka secara teori dalam kelas, namun sejak tiga tahun lepas, pelajar di sini didedahkan dengan aktiviti lapangan seperti simulasi haji yang diadakan ini.

“Lapan tenaga pengajar bertindak sebagai mutawif yang ditugaskan untuk memimpin serta memberi pendedahan sebenar kepada pelajar mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan simulasi ibadah haji,” katanya ketika ditemui dalam Program Simulasi Haji Pelajar Orang Asli di MPI, Kok Lanas, di sini, hari ini.

Simulasi haji itu adalah yang pertama kali diadakan di situ melibatkan 80 pelajar terdiri daripada Orang Asli dan saudara baru dari Kemboja, Thailand dan Myanmar.

Sementara itu, pelajar Khairul Nizam Along, 17, berkata, walaupun hanya simulasi haji, namun beliau berasa sangat teruja apabila buat pertama kalinya dapat melakukan rukun haji.

Menurut Khairul Nizam dari suku Temiar, sebelum ini dia tidak mengetahui mengenai ibadah haji sehinggalah simulasi itu diadakan sekali gus dapat membuka mindanya mengenai ibadah berkenaan.

“Sebelum melakukan simulasi haji, kami diberikan taklimat dan pada ketika itu saya bimbang jika tidak dapat mengikutinya, namun selepas diajar, ia tidak sesukar mana yang difikirkan.

“Daripada simulasi ini, saya dibawa tawaf mengelilingi Kaabah, wukuf, mengutip batu serta melontar jamrah selain melakukan sa’ie Bukit Safa dan Marwah seperti ibadat yang sebenar selain perlu menghafal beberapa ayat dan doa,” katanya.

Bagi pelajar Orang Asli, Arman Rosli, 16, berkata, beliau seronok melihat rakan-rakannya memakai pakaian serba putih (pakaian ihram) dan kaedah pengajaran oleh sukarelawan, Che Hassan Awang mudah difahami dan berkesan.

“Saya sudah memasang angan-angan untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah seperti yang dilakukan ini satu hari kelak jika mendapat peluang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :