Cheong Jun Hoong selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia Kali ke-43 di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Ratu terjun negara genggam ijazah

SERDANG, 16 NOV: Ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi selepas berhempas pulas mengikuti pengajian selama sembilan tahun.

Atlet berusia 29 tahun itu menerima ijazah pada Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-43 yang disampaikan Tuanku Canselor UPM, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menceritakan pengalamannya sepanjang bergelar pelajar, Jun Hoong sangat berterima kasih kepada UPM yang sentiasa bertolak ansur sehingga membolehkannya menamatkan pengajian walaupun mengambil masa yang agak panjang berbanding kebiasaan tiga tahun.

“Saya memulakan pengajian pada 2009, namun menangguhkan pengajian beberapa kali kerana mahu menumpukan perhatian kepada sukan untuk mewakili negara.

“Sampai satu tahap, saya fikir sampai bila saya harus menangguhkan pengajian, jadi saya membuat keputusan untuk tetap meneruskan pengajian walaupun perlu mengurangkan jam kredit kerana sibuk dengan persiapan sukan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Jun Hoong berkata, halangan utamanya dalam meneruskan pengajian ialah masa dan kepenatan kerana perlu memberi perhatian kepada dua bidang iaitu sukan dan belajar.

Berkongsi perancangan masa depannya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu berkata, beliau bercadang mahu menjadi jurulatih sukan.

Selain Jun Hoong, dua atlet kebangsaan yang turut menerima ijazah mereka pada majlis konvokesyen hari ini ialah atlet olahraga, Bibi Nuraisyah Ishak (Bacelor Pendidikan – Pendidikan Jasmani) dan atlet menembak, Johnathan Wong Guanjie (Bacelor Kejuruteraan – Aeroangkasa).

– BERNAMA


Pengarang :