Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rizab antarabangsa BNM kekal AS$103.2 bilion setakat 15 November lalu

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Rizab Antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal tidak berubah pada AS$103.2 bilion setakat 15 November 2019 daripada 31 Oktober 2019.

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata, komponen utama dalam rizab antarabangsa itu merangkumi rizab mata wang asing AS$96.5 bilion, kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.1 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.9 bilion) dan aset-aset rizab lain (AS$2.6 bilion).

Aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain termasuk SDR yang berjumlah RM432.20 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.20 bilion), deposit oleh institusi kewangan kerajaan (RM760,000), pinjaman dan pendahuluan (RM6.83 bilion), hartanah – tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM10.92 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM144.55 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.75 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM152.50 billon), deposit kerajaan persekutuan (RM19.70 bilion), deposit lain (RM1.31 bilion), Kertas Bank Negara (RM19.19 bilion), peruntukan SDR (RM7.68 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM2.52 bilion).

– BERNAMA


Pengarang :