PBT SELANGOR

RM12.95 juta selenggara landskap di Petaling Jaya

PETALING JAYA, 27 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM12.95 juta bagi menyelenggara 38 kawasan landskap pihak berkuasa tempatan itu tahun depan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Sayuthi Bakar berkata usaha itu bagi mewujudkan suasana persekitaran semula jadi, sekali gus mengekalkan persekitaran kondusif untuk manfaat penduduk.

“Peruntukan ini meliputi penyelenggaraan pokok teduhan, pemotongan rumput dan pembersihan serta melupuskan sampah kebun di taman awam juga kawasan lapang,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ Bil.11/2019 di Ibu Pejabat MBPJ di sini hari ini.

Mohd Sayuthi berkata pihaknya juga menyediakan peruntukan khas sebanyak RM4.28 juta untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan penyelenggaran di 15 buah taman awam.

Katanya kaedah itu akan memudahkan kerja pemantauan terhadap semua aspek penyelenggaraan landskap secara lebih berkesan.

“Bagi tujuan itu, kita memperuntukkan RM3.1 juta untuk melantik 15 kontraktor panel yang akan membantu MBPJ melaksanakan kerja pembaikan berdasarkan penemuan di tapak atau aduan pengguna.

“Kita mahu memastikan perabot dan kemudahan sedia ada di setiap taman dan sekitar Petaling Jaya berada dalam keadaan baik serta selamat untuk digunakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sejumlah RM300,000 disediakan untuk program Pembudayaan Landskap bersama komuniti bagi menggalakkan pembabitan masyarakat dan meningkatkan kesedaran penduduk.

Katanya, perancangan kesemua program itu adalah melalui Program Kebun Kejiranan Komuniti, Kawasan Lapang Angkat termasuk Pertandingan Bengkel.


Pengarang :