AGENDA NASIONAL

RM23.59 juta perkasa pertanian, perikanan

SHAH ALAM, 1 NOV: Sebanyak RM23.59 juta diperuntuk bagi sektor pertanian ke arah menjadikan Selangor sebagai paksi kuasa ekonomi serantau.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata ingin membuka lebih banyak kawasan pertanian berteraskan konsep Tanaman Berpenghasilan Tinggi dengan mengoptimumkan kawasan kecil bagi penghasilan yang tinggi melalui penggunaan teknologi moden seterusnya meningkatkan pendapatan negeri.

Katanya sektor pertanian makanan akan diberi penekanan lebih tinggi bagi memastikan bekalan makanan Selangor berada pada tahap selamat, di samping meningkatkan pendapatan agropreneur (usahawantani) serta amalan pertanian lestari.

“Pembangunan ini selaras trend pertanian yang memfokuskan ke arah Revolusi Pertanian 4.0 yang memberi penekanan kepada aplikasi inovasi, teknologi pertanian seperti penggunaan peralatan berteknologi tinggi, sensori, robotik, GPS dan teknologi maklumat (IT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut meneruskan pemberian insentif kepada petani, nelayan, pesawah dan penternak dengan peruntukan RM11.96 juta.

Katanya sejumlah RM9.15 juta disediakan untuk pengusaha pertanian melalui pemberian bantuan berbentuk peralatan, input pertanian, kerja awalan tanah dan benih tanaman dan ia akan memberikan manfaat kepada 3,000 orang petani serta pesawah.

“Dalam bidang penternakan pula, bantuan berbentuk pemberian induk ternakan, mesin memproses makanan ternakan dan menaik taraf kandang ternakan serta peralatan pemprosesan produk IAT turut disediakan berjumlah RM1.91 juta.

“Bantuan berbentuk peralatan yang boleh meningkatkan hasil tangkapan seperti sonar pencari ikan, GPS dan jaring ikan akan diberikan kepada nelayan.

“Sementara RM900,000 diperuntuk bagi bidang akuakultur melalui bantuan peralatan untuk penternakan ikan seperti tangki, pam boleh tenggelam, pengayuh dan benih ikan,” katanya.


Pengarang :