Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berucap pada sidang Dewan Negeri Selangor di Dewan Annex, SUK Shah Alam. 8 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

RM29.7 juta untuk pelajar luar negara

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri menerusi agensinya telah menyalurkan sebanyak RM29.7 juta bantuan pendidikan kepada pelajar di Universiti Asia Barat dan Timur Tengah sejak diperkenalkan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, seramai 293 pelajar tajaan telah menerima manfaat berkenaan yang terdiri daripada 173 pelajar di Mesir.

Katanya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan pendidikan kepada mahasiswa luar negara dalam kalangan asnaf fakir, miskin, mualaf dan fisabilillah.

“Antara bantuan yang disalurkan adalah Bantuan Dermasiswa Luar Negara membabitkan Timur Tengah, selain Timur Tengah, Bantuan Umum Pelajaran kepada pelajar luar negara dan bantuan sumbangan keperluan pembangunan pendidikan luar negara.

“Bagi Bantuan Dermasiswa Luar Negara Timur Tengah membabitkan kuota 50 pelajar untuk tiga buah negara iaitu Mesir, Jordan dan Morocco dengan nilai peruntukan setiap tahun RM4 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PAKATAN-Sungai Kandis) pada Sidang Dewan Negeri, di sini.

Amirudin berkata, bantuan berkenaan diberi keutamaan kepada keluarga berpendapatan tidak melebihi had kifayah RM7,000.

Manakala, katanya, bagi Bantuan Umum Pelajaran pelajar luar negara diberikan sumbangan ‘one off’ setahun sekali.

“Selain itu, bantuan sumbangan keperluan pembangunan pendidikan luar negara diberikan kepada pelajar menerusi institusi, agensi Islam luar negara yang bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan LZS,” katanya.


Pengarang :