AGENSISELANGOR

RM5 juta bina Kampung Budaya Selangor di Sungai Klang

SHAH ALAM, 1 NOV: Kampung Budaya Selangor bakal dibina di tanah seluas 35 ekar di Bandar Klang melibatkan peruntukan RM5 juta.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata tanah terletak di tengah-tengah bandar itu sudah dikenal pasti sekaligus ia dijangka menjadi pusat rujukan sejarah, kebudayaan dan tradisi etnik-etnik lain di negeri ini.

“Dengan inisiatif ini, kita percaya mampu meningkatkan elemen tarikan kepada projek Selangor Maritime Gateway (SMG),” katanya.

Sementara itu, Dana Kota Seni Selangor akan dikembangkan kepada dua lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Hulu Selangor dan Klang dengan peruntukan RM1 juta.

“Saya juga menyeru supaya semua PBT dapat memperuntukkan sejumlah dana untuk memajukan sektor ekonomi kreatif di kawasan masing-masing.

“Sebelum ini, Dana Kota Seni Selangor telah memberi penumpuan kepada pembangunan seni dan kebudayaan di Petaling Jaya dan Shah Alam.

“Inisiatif seperti Rumah Seni Selangor, Festival Tarian Petaling Jaya, Festival Chempuling dan Laman Seni 7 telah menjadi program utama di dalam merancakkan pelbagai bentuk kesenian dan kebudayaan tradisi mahupun kontemporari,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata program Dialog Shah Alam juga diterus dengan memperuntuk RM500,000 pada tahun depan sebagai platform kepada ahli akademik dan intelektual serta masyarakat di negeri ini.

Amirudin berkata sesi dialog itu akan menjadi ruang kepada tokoh bertaraf antarabangsa menyampaikan pandangan dan pemikiran mereka dalam menangani isu strategik seperti keselamatan, pemanasan global, alam sekitar dan teknologi.


Pengarang :