AGENDANASIONAL

RM596 juta Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara diluluskan

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Lebih daripada 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang bernilai RM596 juta telah diluluskan setakat 31 Oktober, 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata BNM dan institusi kewangan telah mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari tahun ini.

“Penambahbaikan telah berkuat kuasa pada 1 September, 2019. Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuklah pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) tentang sejauh mana kemajuan yang telah dicapai oleh BNM untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Melalui dana tersebut, Lim berkata pembeli rumah pertama, terutama golongan muda, akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana dengan kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa, iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“Kadar pembiayaan yang rendah berserta tempoh pembiayaan yang lebih panjang dapat meningkatkan kemampuan peminjam melalui pengurangan pembayaran bulanan pembiayaan, seterusnya merangsang daya beli dan meningkatkan akses kepada pembiayaan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :