Keadaan kolam takungan banjir Bandar Puteri, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

RM9.5 juta selenggara kolam takungan di Selangor

KLANG, 19 NOV: Sejumlah RM9.5 juta dibelanjakan tahun ini bagi penyelenggaraan kolam takungan di Selangor.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) II Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS), Ir Saari Abdullah berkata pihaknya melaksanakan pelbagai skop kerja berdasarkan keutamaan mengikut keperluan dan kerosakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata antaranya membuang kelodak dan enapan, membaiki tebing kolam, membaiki struktur inlet dan outlet, menyelenggara parit, membaiki struktur perangkap sampah, pembersihan sampah di dalam kolam, menyelenggara serta membaiki struktur landskap.

“Program penyelenggaraan itu semakin giat dilaksanakan setiap tahun ke atas kolam takungan yang dirasa kritikal dan memerlukan tindakan pembaikan walaupun ia bukan kolam banjir milik JPS.

“Ia dilaksanakan sejak 2016 secara berkala dan selain peruntukan Kerajaan Persekutuan, JPS turut menggunakan peruntukan mengurus yang diterima daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Penyelenggaraan Kolam Takungan Banjir Selangor di Kolam Takungan Bandar Puteri di sini.

Hadir sama EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah.

Ir Saari berkata setakat ini JPS berjaya mengambil alih penyelenggaraan 110 kolam takungan berbanding 553 keseluruhannya.

“JPS sentiasa berusaha memastikan fungsi kolam takungan ini terpelihara dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala di kawasan terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata JPS sedang membuat permohonan bagi pewartaan kolam takungan itu, namun memerlukan masa lama khusunya bagi mewartakan kolam yang lama terbina dan tidak mempunyai maklumat ukur lengkap.


Pengarang :