Haniza Talha. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Rumah Idaman tidak boleh dijual

SHAH ALAM, 7 NOV: Tindakan Kerajaan Negeri menghalang penjualan semula unit Rumah Idaman adalah bagi mengelak berlakunya spekulasi pasaran harga melambung, kata EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Katanya, penjualan semula juga akan menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan membuat pembelian rumah bagi tujuan pelaburan.

“Setiap projek Rumah Idaman dibina di bawah garis panduan ditetapkan kerana tertakluk kepada moratorium selama lima tahun. Ini bermakna setiap unit rumah yang dibeli tidak boleh dijual kepada pihak lain sebelum tamat tempoh berkenaan.

“Oleh kerana itulah pemohon yang benar-benar layak sahaja harus memohon rumah ini dan jika berlaku pelanggaran syarat, tindakan akan diambil ke atas mereka yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing (ADN) Rajiv Rishyakaran dan ADN Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berhubung Rumah Idaman pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza (PAKATAN-Lembah Jaya) berkata, pada masa sama beliau meminta supaya Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) memantau sekiranya berlaku penyewaan Rumah Idaman, di negeri ini.

“Seeloknya kedua-dua pihak ini mewujudkan peraturan rumah (house rules) bagi mengelakkan penyewaan berlaku terutamanya kepada warga asing, namun pengecualian diberi kepada pemilik yang terpaksa berpindah kerana tidak lagi bekerja berhampiran dengan unit kediamannya.

“Jika itu berlaku, kita akan pertimbangkan dan memberi pengecualiaan,” katanya.


Pengarang :