Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in bersalam dengan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum sesi pertama Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan first session of the ASEAN-South Korea di Busan pada 25 November 2019. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rundingan Moon-Mahathir akhiri sidang kemuncak ASEAN-Korea Selatan

SEOUL, 28 NOV: Sidang kemuncak diplomasi intensif Presiden Moon Jae In dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) minggu ini bakal berakhir dengan rundingan dua hala bersama Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Seoul pada Khamis, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Moon merancang bertemu Mahathir di Cheong Wa Dae untuk mengadakan perbincangan serta makan tengah hari dan mereka dijangka memfokus kepada cara memupuk perkongsian dalam revolusi industri keempat, meningkatkan hubungan industri pertahanan selain memajukan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Kedua-dua negara telah merundingkan FTA. Dalam satu temu bual dengan Yonhap di Busan, 450 kilometer di tenggara Seoul, pada awal minggu ini, Mahathir menyatakan pandangan yang dianggap agak berhati-hati.

“FTA selalunya baik, namun kita perlu faham kelemahan dan kekuatan negara yang terbabit,” katanya sambil menambah bahawa kekuatan industri Malaysia masih dalam peringkat awal.

Moon juga mungkin meminta sokongan Malaysia dalam proses damai Korea.

Mereka telah bertemu di Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan yang berlangsung di Busan pada Isnin dan Selasa.

Perdana Menteri itu telah menetapkan lawatan rasminya ke Korea Selatan untuk mengambil bahagian dalam acara di Busan.

Beliau turut berkunjung ke syarikat pertahanan Korea Selatan iaitu Industri Aeroangkasa Korea (KAI) dan Hyundai Rotem serta Industri Berat Samsung iaitu Geoje Shipyard.

Pertemuan empat mata Moon dan Mahathir bakal mengakhiri sidang kemuncak diplomasi beliau yang memfokus kepada negara-negara Asia Tenggara di bawah Dasar Selatan Baharunya.

-BERNAMA


Pengarang :