AGENDANASIONAL

Rusia optimis tingkat kerjasama ekonomi dengan Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Rusia amat optimis terhadap usaha mempertingkat hubungan ekonomi dua halanya dengan Malaysia berikutan potensi besar yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara, terutama industri yang berteraskan kemahiran tinggi.

Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri Rusia, Alexey Gruzdev berkata, Moscow menyasarkan untuk memperluas kerjasama membabitkan pelaburan, perdagangan, urus niaga teknologi dan pemindahan pengetahuan dalam bidang seperti penerbangan awam, pembinaan kapal, laluan rel serta teknologi digital.

“Kunjungan saya ke sini bersama 40 syarikat terkemuka Rusia yang diwakili oleh kalangan pembuat dasar mereka adalah bagi menghadiri mesyuarat perniagaan-ke-perniagaan bagi mengenal pasti potensi kerjasama tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Forum Perdagangan dan Perniagaan Malaysia-Rusia di sini, hari ini.

Forum anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) itu disokong oleh Majlis Perniagaan Malaysia-Rusia bagi pihak Pusat Eksport Rusia JSC dan Kementerian Perdagangan dan Industri Rusia.

Ini merupakan susulan kepada mesyuarat pertama Suruhanjaya Bersama Kerjasama Ekonomi, Teknikal dan Kebudayaan Rusia-Malaysia di Moscow pada Oktober lepas.

Mengulas selanjutnya, Gruzdev berkata, hubungan dagangan Moscow-Kuala Lumpur juga semakin meningkat dan merekodkan pertumbuhan sebanyak 26 peratus kepada kira-kira US$2.7 bilion pada 2018 dan seterusnya 10 peratus bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Ia semakin meningkat tetapi kita perlu membawa masuk pertumbuhan berkualiti baharu dan sedang menumpukan aspek sektor perindustrian.

“Aspek akses pasaran juga tidak kurang pentingnya dan kita turut mengadakan mesyuarat dengan pelbagai kementerian Malaysia dalam kunjungan kali ini bagi memaklumkan halangan yang dihadapi oleh kalangan ahli perniagaan yang mahu menjalin projek bersama selain memastikan semua prosedur itu dapat dipenuhi mengikut tempoh ditetapkan,” katanya.

Gruzdev berkata, delegasi itu turut bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam dan beliau sendiri telah berkongsi hasrat Rusia untuk menggalakkan dan mengubah struktur hubungan dagangan itu yang tidak dipelbagaikan.

Mengulas industri yang menjadi tumpuan Rusia termasuk pembinaan kapal, beliau berkata, Moscow mengambil kira kedudukan strategik Malaysia di rantau ASEAN yang boleh dimanfaatkan menerusi gabungan usaha kedua-dua negara bagi membangunkan industri terbabit.

Menurutnya, sejajar pembuatan pelbagai jenis kapal yang boleh dihasilkan di Malaysia, beliau berkata bagi tahap pertama, tumpuan perlu membabitkan pembuatan bot laju bagi memastikan hubungan penghantaran perkapalan dengan Malaysia serta negara-negara jirannya.

Pada masa sama, Rusia juga meninjau untuk bekerjasama dengan lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan pemacu ekonomi serta pantas dari segi membuat keputusan berbanding syarikat-syarikat besar.

“Apa yang mereka perlukan adalah sokongan dari segi kelompok perniagaan, perundangan dan institusi utama. Kita juga berharap untuk dapat membangunkan PKS dalam aliran kerjasama baharu dengan Malaysia,” katanya.

Selain itu, mengulas pertikaian perdagangan Amerika Syarikat-China yang memberi kesan terhadap ekonomi global, Gruzdev menyifatkan perkara itu tidak membawa manfaat kepada perdagangan dunia.

“Malah, ada yang turut menggelarnya sebagai perang perdagangan. Kita perlu akui bahawa perang tidak membawa sebarang penambahbaikan kepada sistem antarabangsa kerana sebaliknya hanya meningkatkan lagi aspek mengutamakan (dasar) perlindungan.

“Kita menyokong (sebarang) persaingan dan perdagangan secara terbuka. Rusia yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Eropah juga telah memulakan usaha bagi menghasilkan perjanjian perdagangan bebas. Rusia tidak akan meraih manfaat daripada negara-negara yang sedang berdepan tekanan. Namun, kita juga perlu mempelbagaikan usaha bagi meninjau peluang yang ada,” katanya.

Beliau berkata, sejajar kedudukan Malaysia sebagai peneraju di rantau ini yang mempunyai banyak program keutamaan untuk dimajukan, Rusia berminat untuk menjalin kerjasama dalam bidang teknologi tinggi bagi pembangunan dan promosi produk bersama untuk wilayah tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :