Safawi Rasid merangkul Anugerah Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola sepak Kebangsaan (ABK) 19 dalam majlis di sebuah hotel di Bangi, Selangor pada 15 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Safawi tidak akan henti usaha keras

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019, Muhammad Safawi Rasid bertekad mahu menjadi pemain lebih baik menjelang musim 2020.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu yang merangkul anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular pada majlis yang berlangsung semalam, mengakui tidak pernah puas dengan prestasinya dan akan terus bekerja keras dari semasa ke semasa.

“Walaupun dapat anugerah ini, saya bukan pemain yang bagus lagi, sebab saya tidak pernah puas untuk buktikan sesuatu dalam arena bola sepak.

“Saya mahu jadi lebih baik dari tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Saya mahu gandakan segala usaha saya… kalau boleh setiap tahun saya mahu lihat peningkatan prestasi saya dalam permainan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis ABK 2019.

Anugerah MVP diraih Muhammad Safawi itu menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu berjaya mempertahankan gelaran dimenangi edisi lepas dengan rekod pemain paling termuda memenangi anugerah MVP.

Pemain kelahiran Terengganu itu menikmati kemuncak karier selepas membantu JDT merangkul Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.

Ketika ditanya mengenai rahsia di sebalik prestasi cemerlang bersama skuad Harimau Selatan, Muhammad Safawi berkata beliau sentiasa memberikan sepenuh tumpuan dalam sesi latihan dan menganggap setiap perlawanan seperti aksi final.

“Saya berikan yang terbaik serta tumpuan penuh dalam sesi latihan dan perlawanan. Setiap aksi itu saya ibaratkan seperti final demi raih keputusan positif. Saya tidak istimewa mana cuma ia juga mungkin disebabkan berkat daripada ibu bapa saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menanam impian untuk mengembangkan bakatnya di luar negara sekiranya diberikan peluang.

“Di usia 22 tahun impian saya kalau ada rezeki dan tawaran dari luar memang saya nak pergi tetapi saya perlu hormati majikan saya Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda yang selalu menjaga saya dan pasukan JDT,” tambah Muhammad Safawi.

-BERNAMA


Pengarang :