Prof Dr Wan Iryani Wan Ismail (kiri) menunjukkan cara mengesan ketulinan madu menggunakan mesin pengesan ketulinan – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saintis wanita cipta suplemen madu tangani obesiti

KUALA NERUS, 3 NOV: Sejak dahulu lagi madu diketahui sebagai manisan semula jadi yang bermanfaat bagi kesihatan.

Namun, ramai yang ragu-ragu mengamalkan pemakanan madu disebabkan lambakan madu tiruan di pasaran kini yang mengandungi gula tambahan yang boleh memudaratkan kesihatan.

Atas permasalahan ini, seorang saintis wanita dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail mengambil inisiatif menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) ke atas madu dan menghasilkan makanan tambahan kesihatan (suplemen) berbentuk dos kapsul yang hanya mengandungi madu asli bagi menangani masalah obesiti.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT itu berkata, penyelidikan yang dilakukannya sejak 10 tahun lepas mendapati dengan hanya mengambil madu asli, selera makan seseorang boleh dikawal dan seterusnya masalah obesiti dapat ditangani.

“Madu merupakan antara benda paling mudah, murah dan tidak mempunyai kesan sampingan. Ia mengandungi khasiat lengkap untuk memberi tenaga kepada tubuh badan. Namun ada yang mempertikaikannya dengan menyatakan madu itu manis dan mereka dapat penyakit diabetes setelah makan madu. Tetapi itu madu tiruan.

“Kita juga telah buat eksperimen ke atas tikus makmal dan ia menunjukkan tikus yang diberi madu asli semakin kurus dan sihat, tetapi yang diberi madu tiruan semakin gemuk dan mempunyai banyak penyakit,” katanya yang menggunakan mesin menguji ketulenan serta kualiti madu bagi membezakan antara madu asli dan tiruan.

Melalui penyelidikan itu juga, Wan Iryani mengenal pasti tiga kaedah untuk membezakan antara madu asli dan madu tiruan selain ujian makmal dan mesin, iaitu melalui rasa, bau dan penglihatan yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat.

“Madu asli mempunyai rasa dan bau khas seakan-akan tumbuhan dan bunga, manakala madu tiruan berbau air gula dan tengik serta rasanya terlampau manis. Madu tiruan juga warnanya lebih lutsinar dan jelas tidak seperti madu asli yang lebih keruh sebab mengandungi bahan-bahan aktif,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikannya meliputi semua jenis madu yang terdapat di Malaysia termasuk madu kelulut dan madu lebah tualang.

Penyelidikan ke atas madu itu telah membawa tuah kepada Wan Iryani apabila menerima anugerah L’Oreal – UNESCO Fellowship For Women In Science (FWIS) baru-baru ini, yang mengiktiraf usahanya menghasilkan kajian berinovatif dan bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau bersama dua lagi saintis wanita tempatan yang menerima anugerah tersebut diberi wang geran berjumlah RM30,000 untuk meneruskan projek mereka.

Katanya wang geran tersebut akan digunakan untuk meneruskan kajiannya dan menguji suplemen madu asli itu ke atas manusia serta mengenal pasti jumlah dos yang diperlukan untuk mengawal obesiti.

“Kita akan beri suplemen ini kepada individu yang mempunyai berat badan berlebihan dan kita akan tengok bagaimana madu memberi tindak balas di dalam badan manusia. Saya hendak kaji bagaimana bila kita makan madu ia merangsang sel-sel lemak kita, itu tiada sesiapa pun tahu.

“Kita juga akan lihat pengambilan dos suplemen itu, sama ada untuk diambil tiga kali sehari, sekali sehari atau sebagainya,” katanya sambil memberitahu kajian terhadap manusia itu akan dimulakan Januari 2020.

Beliau berkata, suplemen madu asli tersebut dijangka menemui pasaran tahun hadapan dan terdapat beberapa syarikat menawarkan diri untuk memasarkan produk itu.

– BERNAMA


Pengarang :