AGENDANASIONAL

Saksi: Najib minta tidak masukkan dua versi penyata 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak meminta beliau untuk tidak memasukkan dua versi penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam laporan audit akhir syarikat itu.

Ambrin berkata, bekas perdana menteri itu membuat permintaan berkenaan selepas berjanji bahawa pihak berkuasa yang berkaitan akan membuat siasatan menyeluruh ‘and to get to the bottom of this’ secepat mungkin.

Saksi pendakwaan keenam dalam perbicaraan kes Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, berhubung dakwaan meminda laporan akhir audit 1MDB itu berkata, Najib membuat permintaan itu pada pertemuan yang diadakan di pejabatnya (Najib) pada 22 Februari 2016.

Menurut Ambrin, pada pertemuan yang turut dihadiri bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, bekas perdana menteri itu meminta beliau memberitahu apa isu yang ketara dan serius dalam laporan audit akhir 1MDB.

Saksi itu berkata, beliau kemudian membangkitkan isu mengenai dua versi penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

“Dua versi penyata kewangan yang berbeza itu adalah satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menyatakan 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC (Segregated Portfolio Company) untuk membayar hutang syarikat 1MDB dan digunakan untuk modal kerja 1MDB.

“Satu lagi versi penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deutsche Band dan Ambank yang menyatakan dana yang diperoleh daripada pelaburan SPC masih lagi ada dalam simpanan 1MDB,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria pada perbicaraan yang masuk hari kelima.

Ambrin, 70, ketika membacakan penyataan saksinya berkata isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza itu turut dibangkitkan ketika menghadiri satu mesyuarat di pejabat Ali pada 24 Februari 2016 yang diadakan bagi membincangkan mengenai laporan audit akhir 1MDB serta isu berbangkit.

Menurut beliau, mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Ali turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Seri Dr Mohd Isa Hussain dan wakil dari MOF iaitu Asri Hamidon, Arul Kanda, Setiausaha Sulit Kanan Ali, Datuk Norazman Ayob dan Shukry.

“(Ketika mesyuarat itu) Jabatan Audit Negara berpandangan bahawa sebuah syarikat tidak boleh mempunyai dua penyata kewangan bagi satu tahun yang sama kerana ia akan mengelirukan pelbagai pihak contohnya pemegang syer, bank dan lain-lain pihak.

“Pada ketika itu, Arul Kanda banyak mengemukakan pandangan beliau mengenai isu itu dan mendesak supaya isu berkenaan dua versi penyata kewangan 1MDB itu tidak dimasukkan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB.

“Encik Arul Kanda juga bersetuju supaya isu tersebut dilapor kepada pihak berkuasa. Di pihak JAN, tujuan isu dua versi penyata kewangan 1MDB berakhir Mac 2014 dimasukkan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB itu adalah bagi membolehkan perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan lanjut,” katanya.

Ambrin, yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan di Jabatan Perdana Menteri, berkata Ali kemudian mengarahkan Mohd Isa untuk membuat laporan polis berhubung isu dua versi penyata kewangan itu dan ketika itu, katanya, beliau yakin serta tidak meragui komitmen mereka untuk membuat laporan polis.

Mengulas lanjut mengenai permintaan Najib untuk tidak memasukkan isu dua versi penyata kewangan itu ke dalam laporan pengauditan 1MDB, katanya sebagai Ketua Audit Negara dan penjawat awam beliau melihat permintaan Najib selaku perdana menteri sebagai sesuatu yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang prasangka.

“Implikasi pengguguran fakta dari Laporan Pengauditan 1MDB adalah sangat serius tetapi ia digugurkan bagi melaksanakan permintaan Datuk Seri Najib dengan jaminan yang beliau akan menyiasat ‘to the bottom of this’.

“Malahan, terdapat juga mesyuarat susulan yang mengesahkan bahawa satu tindakan untuk menyiasat perkara ditimbulkan oleh Laporan Pengauditan 1MDB akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Beliau didakwa atas kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 hingga 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :