Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad (kiri) bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas I Pejabat Menteri Pertahanan, Norhalim Sirome (kanan) melepaskan peserta Jelajah Motosikal Kuasa Tinggi sempena Kempen Tabung Pahlawan 2019 bersama Veteran Kor Perkhidmatan Diraja Malaysia (KPDM) dan DZ Bikers di pekarangan Tabung Haji Perdana, pada 30 November 2019 – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sasar lebih 10,000 veteran ATM terima manfaat Tabung Pahlawan

KUALA LUMPUR,30 NOV: Lebih 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menerima manfaat hasil kutipan dana sempena Kempen Tabung Pahlawan 2019.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kutipan dana yang diperolehi menerusi pelbagai program di bawah anjuran Kementerian Pertahanan itu akan disalurkan bagi kebajikan veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh.

“Kami menjangkakan peningkatan jumlah dana untuk disalurkan kepada penerima berbanding tahun lepas.

“Kempen Tabung Pahlawan 2019 ini sepatutnya berakhir pada Disember namun kami baharu sahaja minta untuk ia dipanjangkan sehingga bulan Februari tahun hadapan sebagai satu tanda penghargaan terhadap semua jasa yang mereka taburkan kepada negara semasa mereka berkhidmat dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelepasan Kembara Motosikal Berkuasa Tinggi sempena Kempen Tabung Pahlawan 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan lebih RM6 juta bagi dana tabung itu sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan dalam membantu veteran ATM serta tanggungan masa depan.

Seramai 30 orang penunggang terlibat dalam menjayakan program kembara yang dilepaskan lagi tadi selain turut akan diadakan kutipan dana jalanan sepanjang penjelajahan motosikal itu.

Kembara itu akan menjelajah ke semua negeri di Semenanjung Malaysia bermula hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :