Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris melawat ruang pameran Ekspo pertanian & pesta konvokesyen UPM ke 43 di Pentas Angsana, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia pada 15 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sektor pertanian terbaik jamin keselamatan makanan negara

SERDANG, 16 NOV: Isu keselamatan makanan (food security) akan terjamin jika sektor pertanian negara sentiasa ditambah baik mengikut arus modenisasi, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Katanya keselamatan makanan ditafsir sebagai bekalan mencukupi untuk rakyat dalam sesebuah negara, namun masih ramai yang gagal melihatnya dari sudut pengeluaran sama ada terhasil dari dalam negara ataupun diimport.

“Sebagai sebuah negara berteraskan pertanian, seharusnya sebahagian besar pengeluaran makanan bergantung kepada penghasilan dari dalam negara.

“Keselamatan makanan tidak boleh diambil mudah kerana produktivitinya boleh ditingkatkan melalui penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berucap sempena Ekspo pertanian & pesta konvokesyen UPM ke 43 di Pentas Angsana, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia pada 15 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Usaha berterusan perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan sama ada secara individu atau berkumpulan bagi memastikan makanan yang dihasilkan adalah selamat, demi kesihatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen (EPPK) UPM ke-43 di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Technologist Dr M Iqbal Saripan dan Pengarah Taman Pertanian Universiti, Prof Madya Dr Yahya Awang.

Dr Aini berkata tema EPPK kali ini ialah Sekuriti Makanan dan Kesejahteraan Rakyat, sekali gus memberi makna mendalam buat warga UPM.

Katanya penyelidikan dijalankan UPM dapat menangani isu seperti pengeluaran, pemprosesan, bioteknologi, teknologi hijau, dan pengurusan sumber mampan.

“UPM mempunyai keupayaan sebagai sebuah institusi untuk menjana pengetahuan, teknologi dan inovasi bagi memajukan pertanian melalui program akademik, penyelidikan dan perkhidmatan profesional.

“Oleh itu, EPPK akan terus dijadikan landasan bagi menarik minat golongan muda dan graduan universiti khususnya untuk menceburi bidang pertanian dan menyemai semangat keusahawanan dalam minda mereka,” katanya.


Pengarang :