Gimik perasmian sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2019 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 10 November 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor bentuk Jawatankuasa Penyelarasan Bandar Berdaya Huni Negeri

SHAH ALAM, 10 NOV: Jawatankuasa Penyelarasan Bandar Berdaya Huni Selangor bakal diperkenal tahun hadapan bagi menambah baik kesejahteraan kehidupan komuniti di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata jawatankuasa yang akan dikendali EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha itu sebagai langkah menyokong pelaksanaan inisiatif di bawah Jawatankuasa Smart Selangor Mampan 2030.

“Jawatankuasa ini khas dirangka bagi memastikan pembangunan dan perancangan bandar lebih tersusun. Kebetulan kita ada EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar.

“Ini portfolio baharu yang kita wujudkan dua atau tiga tahun lalu kerana kita lihat kehidupan bandar ini perlu ada perancangan dan penelitian jitu, sebagai contoh kemiskinan bandar lebih membimbangkan berbanding kemiskinan luar bandar ketika ini.

“Dalam strategi kemampanan sosial pada pembentangan belanjawan lalu, kita meletakkan beberapa inisiatif untuk miskin bandar di samping meneruskan beberapa usaha ke arah menangani kehidupan dalam bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan dengan tema ‘Hijau dan Komuniti: Bersama Lebih Baik (Green and Community: Together is Better) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Datuk TPr Mohd Anuar Maidin.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha dan strategi dibawa Kerajaan Persekutuan di peringkat tempatan kerana ia membantu menyediakan kerangka jangka panjang dan pendek khusunya untuk menangai cabaran semasa perkembangan perbandaran.

Beliau berkata pihaknya juga sedang mengatur strategi dan usaha bagi memastikan Selangor terus mampan dan berdaya saing di semua peringkat.


Pengarang :