AGENDANASIONAL

Selangor Business Capital mampu tarik pelaburan syarikat besar

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek pembangunan bersepadu Selangor Business Capital (SBC) sejajar cita-cita menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terunggul di Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 berkata SBC itu turut menarik minat beberapa syarikat besar seperti Tencent dan Huawei untuk turut sama melabur serta menjayakannya.

Beliau berkata antara kelebihan SBC kerana lokasinya yang strategik di antara Cyberjaya, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta klia2.

“Pembangunan itu akan menggabungkan idea daerah kewangan pintar atau ‘smart financial district’ dan berperanan seumpama ‘sandbox’ kepada teknologi terbaharu yang berupaya menjadi solusi kepada sektor perkhidmatan dan perniagaan untuk menjadi lebih efektif.

“Dianggarkan ‘gross development value’ (nilai pembangunan kasar) atau GDV kepada pembangunan ini sejumlah RM12 bilion.

“Ia turut menyediakan pusat konvensyen dan persidangan bertaraf dunia, hotel bertaraf lima bintang, pusat membeli belah, ruang pejabat dan perniagaan, bangunan kediaman beserta pelbagai fasiliti sokongan lain,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Dasar Kelulusan 100 Hari membabitkan proses memperoleh kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah sebagai tempoh masa maksimum.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan industri aeroangkasa di satu kawasan seluas 2,000 ekar yang bakal dmuktamadkan kelak.

Amirudin berkata Pelan Tindakan Halatuju Selangor Aerospace Cluster 2020 – 2030 yang dibangunkan akan memberi impak terhadap pembangunan dan perkembangan industri aeroangkasa terutama dalam memperkasakan ekosistem industri sedia ada di Selangor.

“Kita yakin menjelang 2030 sektor ini akan menjadi pemangkin utama sektor aeroangkasa negara yang menyasarkan penciptaan 32,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dan pendapatan tahunan sejumlah RM55.2 billion.

“Sebagai usaha untuk memperkukuhkan ekosistem industri aeroangkasa di  Selangor, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Darul Ehsan Aerospace Industry Coordination Office (DAICO), iaitu sebuah unit baru di dalam struktur Invest Selangor Berhad yang berperanan menyelaras cadangan projek berkaitan aeroangkasa,” katanya.


Pengarang :