Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor komited urai masalah infrastruktur Gerai PLB – EXCO

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Negeri sudah mendapatkan maklumat awal daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memuktamadkan kemelut infrastruktur yang melanda Gerai-Gerai Pembangunan Luar Bandar (PLB) di Selangor.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pelbagai isu dibangkitkan berhubung Gerai PLB sehingga menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian besar.

“Berdasarkan maklum balas awal, ada PBT yang sudah mempunyai rancangan untuk membina atau menambah unit-unit gerai PLB.

“Malah, ada juga PBT yang tidak menyediakan peruntukan penyelenggaraan disebabkan beberapa faktor seperti keadaan fizikal semasa gerai,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan, di sidang Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Hilman Idham (PAKATAN-Gombak Setia) membangkitkan isu Gerai PLB yang didakwa berada dalam keadaan daif, lokasi yang tidak strategik dan terletak di atas tanah rizab, selain mengharapkan perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan hala tuju gerai terbabit.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, beliau akan mengaturkan satu mesyuarat bersama semua 12 PBT termasuk pihak berkepentingan bagi membincangkan setiap isu yang dibangkitkan.

Gerai PLB dahulunya diselia di bawah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sebelum diserahkan kepada PBT bagi memastikan urusan penyelenggaraan dan pelesenan dapat dijalankan secara lebih efektif.

Pertukaran pengurusan itu dibuat ekoran kekangan pegawai dan peruntukan bagi menampung kos penyelenggaraan.

Gerai berkenaan diwujudkan bagi membantu peniaga mikro dan desa untuk menjalankan perniagaan, selain membantu menjana pendapatan serta meningkatkan tahap kehidupan mereka.


Pengarang :