Hee Loy Sian menunjukkan bekas makanan dan penyedut minuman besi pada sidang media Kempen Bebas Plastik Peringkat Negeri Selangor 2019 di Bangunan SUK, Shah Alam pada 4 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor lulus RM158,000 jayakan kempen ‘Bebas Plastik dan Straw’

SHAH ALAM, 4 NOV: Sejumlah RM158,000 dilulus bagi melaksanakan empat program kesedaran ‘Bebas Plastik dan Straw’ di sebuah sekolah dan tiga pusat beli-belah di Selangor sehingga hujung tahun ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata selain menyokong kempen bebas plastik, langkah itu juga bagi memperhebat aktiviti cintai alam sekitar.

“Aktiviti yang akan dibuat membabitkan beberapa siri pelancaran di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yu Hua Kajang; Empire Shopping Gallery, Subang Jaya; BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dan GM Klang.

“Kita mendapat kerjasama erat dengan Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan peniaga kecil Selangor untuk melaksanakan kesemua program berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Bebas Plastik Peringkat Negeri Selangor 2019 di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Loy Sian berkata, program yang bakal dijalankan di sekolah dijangka menarik minat kira-kira 2,900 pelajar termasuk guru melalui lakonan pentas bagi meningkatkan tahap mesra alam pelajar.

Bagi program di pusat beli-belah pula katanya penganjur akan mengedarkan 1,500 set bekas makanan mesra alam dan penyedut minuman besi kepada peserta yang mengunjungi pasar raya berkenaan.

“Selain itu, cabutan bertuah juga menanti pengunjung termasuk kanak-kanak yang berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan jelajah ‘No Plastic Bag and Plastic Straw’.

“Saya optimis melalui usaha ini kempen pengurangan penggunaan plastik di Selangor akan mendapat sambutan memberangsangkan, malahan akan terus diperluaskan ke sekolah lain pada tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :