Menyempurnakan pelancaran Pelan Halatuju Kuasa Serantau Selangor di Pavillion Smart Selangor yang diadakan sempena Kongres Dunia Ekspo Bandar Pintar di (SCEWC) Barcelona, Sepanyol
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor meterai MoU dengan AS, UK dan Turki

SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor menerusi tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama United Kingdom, Amerika Syarikat dan juga Turki ketika Kongres Bandar Pintar Sedunia (Smart City Expo World Congress) di Barcelona, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perjanjian itu melibatkan Smart Selangor Development Unit (SSDU), Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) dan Smartsel Sdn Bhd.

“Kerjasama ini membuktikan potensi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar Unggul menjelang 2025,” katanya menerusi kenyataan.

Turut menyaksikan pemeteraian itu ialah Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Kim dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor Raja Shahreen Raja Othman, Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah, Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir dan Pengarah Urusan Smart Sel Sdn Bhd, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir.

Amirudin sebelum itu turut menyempurnakan pelancaran Pelan Halatuju Kuasa Serantau Selangor di Pavillion Smart Selangor pada kongres yang berlangsung dari 19 hingga 21 November ini.

Katanya, Kongres Bandar Pintar Sedunia adalah pengiktirafan besar buat Selangor apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia dipanggil untuk menghadiri persidangan berkenaan.

“Jemputan ini satu pengiktirafan dan sebagai tanda penghargaan kewujudan Selangor dalam merealisasikan usaha ke arah bandar pintar.

“Malah, menerusi jemputan ini setiap negara atau negeri terlibat boleh bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman ke arah usaha merealisasikan tempat masing-masing ke arah bandar pintar,” katanya.


Pengarang :