Mohd Shahzihan Ahmad merasmikan stor penyimpanan selepas Majlis Perasmian Stor Penyimpanan Ekshibit bahagian pengurusan halal di Space U8 Mall pada 27 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor negeri pertama wujud stor barang sita berkaitan halal

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mewujudkan stor simpanan ekshibit (barang kes) berkaitan halal seterusnya menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia mempunyai kemudahan itu.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia dianggap penting kerana JAIS memerlukan stor simpanan barang sitaan sendiri berikutan keperluan undang-undang dari aspek tatacara pengendalian barang kes.

Katanya, kewujudannya juga menjadi penanda aras dan rujukan kepada jabatan agama islam negeri lain untuk memperkasakan lagi penguatkuasaan halal di negara ini.

“Hal ini adalah demi menjaga kredibiliti bahan bukti untuk sampai ke mahkamah. Tanpa tempat simpanan teratur, kes tidak dapat disabitkan kerana tiada jaminan keselamatan barang yang juga bahan bukti.

“Dari Disember 2015 hingga Oktober lalu, 345 operasi dilaksanakan dan 27 kes diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dengan nilai rampasan dianggarkan RM112,241.25,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Stor Ekhsibit Bahagian Pengurusan Halal di Space U8 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIS, Wan Najmiah Wan Mohamad Ali.

Mohd Shahzihan berkata, sebelum ini barang yang disita hanya disimpan dan ditumpangkan di Gudang Penyimpanan Ekhisbit Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Bukit Puchong.

Sementara barang kes dalam kuantiti yang kecil disimpan sementara di stor pejabat Bahagian Pengurusan Halal JAIS.

“Hasil perbincangan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersetuju menyerahkan sebuah premis di Space U8, Bukit Jelutong kepada JAIS untuk dinaik taraf sebagai Stor Simpanan Ekhsibit Bahagian Pengurusan Halal.

“Gudang penyimpanan ini meningkatkan imej MAIS dan JAIS sebagai sebuah institusi agama yang prihatin berkaitan isu halal sebagai salah satu lambang hal ehwal agama Islam dalam menjaga maslahah umat Islam di Selangor,” katanya.


Pengarang :