BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor rangka undang-undang pengasingan sisa pepejal

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan undang-undang mewajibkan pengasingan sisa pepejal mengikut jenis di setiap premis termasuk kediaman dan pusat perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata pihaknya sedang menyiapkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Selangor bagi tujuan itu.

“Hasrat ini sudah dimaklumkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon rundingan, yang akan menyaksikan orang ramai mengasingkan sisa pepejal mengikut jenis.

“Ia merangkumi bahan yang boleh dikitar semula, sisa baki dan sisa pukal di tempat berasingan sementara menunggu hari kutipan ditetapkan.

“Sebagai langkah awal draf RUU itu dibincangkan ke peringkat seterusnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah memulakan program pengasingan sisa atau program kesedaran di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chua Wei Kiat (PAKATAN-Rawang) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sze Han berkata kesedaran penduduk berhubung perkara itu masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran dilakukan di pelbagai peringkat.

“Berdasarkan tinjauan rambang dan pemerhatian, antara sebab utama mengapa kurangnya sambutan dalam kalangan penduduk untuk melaksanakannya kerana beranggapan sistem imbuhan sedia ada tidak berbaloi dan kurang menarik.

“Penduduk juga tidak mahu mengeluarkan kos tambahan bagi membeli plastik yang berbeza warna bagi membuat pengasingan sampah,” katanya.


Pengarang :