EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor sasar 32 peratus keluasan Hutan Simpan Kekal menjelang 2025

KEPONG, 5 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan pertambahan jumlah keluasan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) mencecah sehingga 32 peratus menjelang 2025, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna berkata, sasaran itu bersamaan satu pertiga daripada keluasan tanah yang terdapat di Selangor.

Katanya, bagi mencapai hasrat itu sebarang aktiviti pembangunan di kawasan yang sudah digazetkan sebagai hutan simpan adalah dilarang sama sekali.

“Kita hanya membenarkan tiga projek yang boleh menggunakan HSK iaitu bagi pembangunan infrastruktur talian Tenaga Nasional Berhad (TNB), jajaran paip Air Selangor dan syarikat konsensi lebuh raya.

“Mereka perlu membayar kepada Jabatan Perhutanan Selangor untuk mengeluarkan pokok daripada hutan ini dan menambahkan penggantian keluasan supaya hutan simpan tidak berkurang.

“Sekiranya dikeluarkan 100 ekar, maka perlu digantikan sekurang-kurangnya jumlah yang sama dan proses ini perlu melalui sesi pendengaran awam untuk mendapatkan maklum balas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program Pendidikan Alam Sekitar bertemakan ‘Understanding Dipterocarp Species: The Icon of Our Lowland Forest’ di Kem Perah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mahmod; Pengarah Bahagian, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Dr Ismail Parlan; Ketua Program, Program Ekopelancongan dan Hutan Bandar, Dr Noor Azlin Yahya serta Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Sajoli Masdor.

Terdahulu, Selangor berjaya mencapai pengekalan HSK kedua tertinggi, di Malaysia sepanjang tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dilaporkan berkata, kejayaan itu dicapai melalui Dasar Moratorium ke atas aktiviti pembalakan (pengeluaran) diamalkan Kerajaan Negeri, dalam kawasan HSK selama 25 tahun berkuat kuasa pada 2010 hingga 2035.

Sehingga 30 Jun 2017, keluasan HSK di Selangor adalah seluas lebih kurang 250,209 hektar dengan anggaran kira-kira 31 peratus daripada keluasan negeri.

Untuk rekod, HSK meliputi Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.


Pengarang :