Dato’Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menjawab soalan ketika Sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 11 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor wajibkan MB, EXCO isytihar harta

SHAH ALAM, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar dan EXCO Selangor diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan integriti dan akauntabiliti dijunjung sekali gus semua komponen Kerajaan Negeri mengamalkan budaya kerja yang bersih, telus serta kompeten.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri juga menerima cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) turut mengisytiharkan harta masing-masing.

“Ini dapat dilihat melalui kolaborasi bersama SPRM melalui penandatanganan Ikrar Bebas Rasuah melibatkan semua Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam yang diadakan pada 19 Ogos 2019 lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri berpendapat cadangan terbabit adalah praktikal untuk dilaksanakan sekiranya ada keperluan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil kira sebahagian besar ADN tidak terlibat dalam kuasa eksekutif.

“Maka cadangan ini akan terus diteliti dan dilaksanakan berdasarkan aspek praktikal dan kesesuaian supaya pelaksanaannya bersifat holistik,” katanya.


Pengarang :