Hee Loy Sian
EXCO SELANGOR

Selangor warta tujuh empangan, 413 sungai

SHAH ALAM, 7 NOV: Sebanyak tujuh empangan diwarta Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di bawah Seksyen 48, Enakmen LUAS 1999.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, selain itu, sejumlah 40 peratus iaitu 413 daripada 1,026 sungai turut melalui proses pewartaan sama.

Katanya, tujuan pewartaan adalah untuk melindungi sungai dan rizab sungai daripada gangguan kepada kuantiti, kualiti dan persekitarannya.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui LUAS dan pengurusan Air Selangor juga telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air sebagai sistem amaran awal jika berlakunya pencemaran,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri melalui LUAS turut menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai Selangor yang dipengerusikan EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Katanya, penubuhan itu bagi mempergiatkan usaha dan menggalakkan penglibatan agensi, komuniti, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai di negeri ini.

“Penguatkuasaan bersepadu dan tindakan perundangan tegas turut dilaksanakan antaranya siasatan, notis dan pengeluaran kompaun termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Jabatan Alam Sekitar dan agensi lain juga akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis yang berpotensi melepaskan air buangan tanpa rawatan, tindakan perundangan sekiranya premis yang terlibat melakukan pencemaran,” katanya.


Pengarang :