AGENDANASIONAL

#Selangor2020: 5,000 CCTV pengimbas wajah wujud negeri selamat

SHAH ALAM, 1 NOV: Bagi mewujudkan negeri yang selamat didiami rakyat, sejumlah 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah di seluruh Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata CCTV itu akan dilengkapi teknologi pengimbas wajah (face recognition) dan diselia dari ‘command centre’ bertujuan menyelaras data bagi tujuan keselamatan.

“Pemasangan CCTV adalah salah satu elemen dalam Program Bandar Selamat yang diperkenalkan PLANMalaysia pada 2004.

“Bagi memastikan sistem CCTV sedia ada mengikut keperluan semasa dengan teknologi terkini, Kerajaan Negeri akan menambahbaik spesifikasinya melalui kaedah ‘technology refreshment’.

“Kita juga akan mengkaji semula lokasi sedia ada dengan mengambil kira pandangan daripada pihak berkuasa seperti polis,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sehingga Oktober lalu, sebanyak 775 unit CCTV dipasang di seluruh negeri.

Selain itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif penyerapan skim Penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Skim Polis Bantuan mulai tahun depan.

Sebagai inisiatif perintis, katanya usaha itu akan membabitkan 180 anggota dari sembilan PBT yang akan dikenal pasti di dua majlis bandar raya, enam majlis perbandaran dan satu majlis daerah.

“Sebanyak RM2 juta akan disediakan oleh PBT berkenaan untuk melaksanakan penaiktarafan Skim
Penguat kuasa kepada Skim Polis Bantuan,” katanya.

Antara manfaat keselamatan lain:

  • RM2 juta sebagai geran komuniti untuk meningkatkan asek keselamatan serta memberikan kesedaran kepada komuniti setempat berhubung kepentingan mewujudkan suasana tempat tinggal yang selamat, aman dan harmoni
  • RM300,000 bagi program Nadi Desa yang akan dilaksanakan berkonsepkan Latihan – Teori,
    Pemahaman, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Pembentangan dan Tugasan Kerja Kursus

Pengarang :