SELANGOR

#Selangor2020: Pendekatan berhemah jamin kemampanan kewangan

SHAH ALAM, 2 NOV: Anggaran perbelanjaan RM2.33 bilion menerusi peruntukan Belanjawan #Selangor2020 membuktikan Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berhemah bagi menjamin kemampanan pengurusan kewangan.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, belanjawan bertemakan ‘Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat’ itu dilihat tepat pada waktu kerana mengambil kira semua aspek walaupun dijangka mengalami defisit RM133 juta.

“Ia satu pengurusan kewangan mampan dan semakin meningkat dalam membantu Selangor mempergiatkan ekonomi, khususnya pemberian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Malah, belanjawan kali ini sudah tentu memberi berita baik kepada penduduk di luar bandar seperti petani dan nelayan memandangkan mereka sudah mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Walaupun sebelum ini ada penjajaran dan keluhan daripada rakyat, namun kali ini beliau (Dato’ Menteri Besar) mengambil langkah yang inklusif dan peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas sesi pembentangan Belanjawan #Selangor2020, di Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan itu berkata, Selangor turut membuat pelaburan besar bagi tempoh jangka panjang terutama dalam memandu negeri itu ke arah merealisasikan hasrat Negeri Pintar menjelang 2025.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM300 juta kepada inisiatif Smart Selangor sepanjang tempoh enam tahun ke hadapan untuk mencapai tahap negeri pintar,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.13 bilion atau 48.56 peratus untuk Belanja Pembangunan sementara RM1.20 bilion atau 51.44 peratus bagi Belanja Mengurus.

Katanya, segala usaha diambil Kerajaan Negeri menunjukkan hasil positif dengan peningkatan kutipan hasil berbanding tahun lalu.


Pengarang :