AGENDANASIONAL

#Selangor2020: RM3 juta tumpu keperluan anak istimewa

SHAH ALAM, 1 NOV: Anak-Anak Istimewa Selangor (AnIS) terus mendapat perhatian melalui peruntukan RM3 juta dalam Belanjawan #Selangor2020.

Daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntuk untuk Bantuan Khas AnIS bagi meringankan tanggungan kos saringan, terapi pemulihan, pembelian peralatan dan keperluan khas anak kelainan upaya (OKU) yang ditanggung ibu bapa atau penjaga.

RM1 juta diperuntuk bagi subsidi Yuran Pendidikan Anak-Anak Istimewa Selangor (Didik AnIS), iaitu RM200 sebulan kepada setiap seorang anak istimewa Selangor yang menuntut di pusat intervensi di Selangor yang memenuhi panduan dan syarat digariskan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS).

Peruntukan itu diumumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata RM500,000 lagi diperuntuk untuk membiayai kursus latihan pengasuhan anak istimewa di taska biasa (Cikgu AnIS) sebagai inisiatif dan sokongan Kerajaan Negeri.

“Sehingga kini, seramai 736 orang Cikgu AnIS mengikuti latihan ini dan 368 taska sudah mempunyai guru AnIS terlatih, manakala 256 anak istimewa sudah didaftarkan di bawah jagaan taska terbabit,” katanya.

Bagi memastikan kesemua program inisiatif OKU berjalan lancar, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Yayasan Anak Istimewa Selangor (YAnIS) dengan suntikan RM1 juta.

“Penubuhan yayasan ini dapat membantu Kerajaan Negeri mengendalikan keperluan semasa seperti pengurusan operasi, pencarian dana dan latihan kemahiran yang diperlukan dalam merealisasikan program pemberdayaan OKU di Selangor,” katanya.


Pengarang :