AGENDANASIONAL

#Selangor2020: Skim Peduli Sihat diteruskan tahun depan

SHAH ALAM, 1 NOV: Skim Peduli Sihat akan diteruskan tahun depan dengan tambahan 20,000 penerima, sekali gus menjadikan 85,000 rakyat Selangor menerima manfaat berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sebanyak RM42.5 juta diperuntukkan untuk skim itu bagi memastikan rakyat menikmati kualiti kehidupan lebih baik.

“Dasar kesihatan yang menyeluruh dan berdaya saing akan terus memacu perkembangan ekonomi serta memastikan rakyat terus menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

“Justeru, dalam merealisasikan impian ini Kerajaan Negeri akan meneruskan program Skim Peduli Sihat,” katanya pada pembentangan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi memerangi wabak denggi termasuk aktiviti pencegahan dan kawalan di seluruh negeri.

Bagi mewujudkan Selangor yang selamat, sihat dan sejahtera, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2 juta kepada 3,750 pesakit tibi yang berpendapatan isi rumah kurang RM1,000 untuk mendapatkan rawatan selama enam bulan.

“Program ini julung kali diadakan di Malaysia bagi menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri mengurangkan kes penyakit tibi atau Tuberculosis di negeri itu,” katanya.

Antara manfaat lain:

  • RM1.5 juta bagi aktiviti gaya hidup sihat
  • RM1 juta bagi mengatasi dan membendung masalah pesakit mental menerusi program kesedaran serta pencegahan
  • RM1 juta Skim Peduli Sihat Penjawat Awam
  • RM500,000 bagi 1,000 penjawat awam melakukan pemeriksaan kesihatan penuh di klinik swasta
  • Skim Insurans Berkelompok kepada 494 Ketua Kampung Tradisi dan Ketua Kampung Baru/Bagan dan Ketua Komuniti India yang memberi perlindungan RM15,000 untuk kematian dan cacat kekal, RM13,000 untuk caj hospital, serta khairat kematian berjumlah RM1,000

Pengarang :