Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
PBTSELANGOR

Selayang BMX Challenge cungkil bakat muda

OLEH ALIFF HAIKAL

GOMBAK, 7 OKT: Program Selayang BMX Challenge anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah dapat mencungkil bakat baru terutamanya dalam kalangan generasi muda bagi aktiviti berbasikal.

Kejohanan berbasikal ini dapat membantu dalam mencari bakat baharu dan pelapis untuk mewakili Daerah Gombak mahupun Negeri Selangor ke kejohanan berbasikal BMX di peringkat lebih tinggi.

Menerusi kenyataan MPS di Facebook, dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Selangor, Program BMX Challenge 2019 ini telah diadakan pada 2 hingga 3 November lalu bertempat di Gua Damai Extreme Park, Gombak Permai, di sini.

Selain itu, program ini juga dapat mempromosikan MPS sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang maju dan aktif dalam mempergiatkan aktiviti sukan lasak.

Sebanyak 20 kategori dipertandingkan dengan hadiah wang tunai ditawarkan bagi setiap kategori mengikut umur peserta.

Antaranya kategori Push Bike Girls Bawah 4 Tahun yang menawarkan hadiah wang tunai bagi johan (RM200), naib johan (RM150), ketiga (RM50) dan bagi kategori Men Open 19 Tahun Ke Atas menyediakan hadiah wang tunai untuk johan (RM800), naib johan (RM600), ketiga (RM400).

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua MPS, Shamsul Mohd Noor dan turut disertai Ahli Majlis Zon 9, Rahman Abdullah.

Hadir sama, Wakil Persatuan Berbasikal Selangor, Zafril Zakaria serta pengarah Jabatan MPS.


Pengarang :