Dr Maszlee Malik. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semakan kurikulum universiti secara tahunan – Maszlee

PUTRAJAYA, 5 NOV: Semakan dan penambahbaikan terhadap kurikulum berkaitan bidang teknologi dan industri di universiti akan dilakukan secara tahunan, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Berbanding semakan kurikulum secara berkala bagi tempoh yang agak panjang sekarang, semakan secara tahunan melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dan pihak industri akan berupaya mempersiapkan graduan yang bersifat ‘industry-ready’ dan mengikuti perkembangan terkini, katanya.

Menurutnya, ada antara graduan bidang pemprograman dan perakaunan tidak diterima bekerja kerana perisian yang mereka belajar di universiti sudah ketinggalan dan tidak mengikuti perkembangan terkini.

“Sebagai contoh aplikasi IOS, mereka (graduan) tidak pernah didedahkan teknologi seperti itu di universiti, jadi kita tidak mahu perkara ini terus berlaku,” katanya ketika merasmikan Kolokium Pendidikan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, beberapa bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berasaskan IR 4.0 telah dibangunkan antaranya Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kawalan) dan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Komputer).

“Pada masa hadapan adalah diharapkan sistem pendidikan TVET berupaya melahirkan graduan untuk pulang ke kampung dan membangunkan industri pertanian berasaskan teknologi dan IR 4.0,” katanya.

Maszlee dalam ucapannya turut menyentuh mengenai perkembangan teknologi yang turut menimbulkan masalah siber buli yang menjadi fenomena global ketika ini.

“Kita lihat siber buli ini sebagai satu jenayah yang mana kita lihat ramai yang menghadapi tekanan kerana siber buli. Ini adalah akhlak terburuk dan merupakan sesuatu yang masyarakat patut jauhi,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :