PBTSELANGOR

Seminar Tandas Bersih MBSA disertai 200 peserta

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menganjurkan Seminar Tandas Bersih yang disertai 200 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan pemilik premis tandas awam di Hotel Grand Bluewave di sini, pada 26 November lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program sempena Sambutan Hari Tandas Peringkat Bandar Raya Shah Alam 2019 bertemakan ‘Jom Ubah Tandas Kita’ itu dirasmikan Datuk bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim.

Shahrin berkata, program tebabit diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat terhadap budaya tandas bersih di semua premis serta bangunan.

“Ia juga merupakan salah satu inisiatif MBSA untuk menyediakan kemudahan tandas awam yang bersih, ceria dan selesa bagi menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara ke bandar Shah Alam.

“MBSA ingin mewujudkan tandas awam bertaraf lima bintang bagi setiap kategori tandas sebagai penanda aras dan contoh kepada kepada premis lain,” katanya.

Shahrin berkata, antara pengisian dalam program itu termasuk Seminar Tandas Bersih daripada Persatuan Bilik Air Berkualiti Malaysia (QRAM) yang bertajuk ‘Reka Bentuk Tandas Terbaik, Tandas Selamat dan Mesra Pengguna’ dan ‘Manual Penyelenggaraan dan Pencucian Tandas’.

“Usaha ini merupakan salah satu usaha Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA untuk meningkatkan tahap kebersihan tandas awam dan juga menjadi salah satu langkah proaktif bagi mendidik para kontraktor dan juga orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan tandas.

“Diharap lebih banyak penyertaan akan diterima daripada masyarakat untuk turut serta menyertai Anugerah Tandas Bersih Shah Alam pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :