Amirudin Shari ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor pada 7 November 2019. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Semua kena kerja keras kurangkan defisit belanjawan

SHAH ALAM, 7 NOV: Defisit sebanyak RM133 juta dalam Belanjawan #Selangor2020 diyakini dapat dikurangkan menjelang akhir tahun ini sekiranya semua pihak berkerja keras bagi meningkatkan kutipan hasil.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini dapat dibuktikan apabila defisit yang dicatatkan dalam belanjawan tahun sebelum ini mencatatkan pengurangan berbanding angka dinyatakan dalam pembentangan bajet ketika itu.

“Zaman Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali iaitu pada tahun 2017, kita pernah mencadangkan defisit sehingga RM900 juta tetapi akhirnya kita hanya catat difisit sebanyak RM400 juta.

“Displin itulah harus ditetapkan Kerajaan Negeri dan sekarang kita juga berjaya mengurangkan defisit pada tahun lepas RM306 juta kepada RM133 juta pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau percaya jika semua pihak dapat menggiatkan momentum kutipan hasil, defisit belanjawan RM133 juta dapat terus dikurangkan pada tahun depan.

Amirudin berkata, pada tahun 2009 Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan berimbang, namun mencatat defisit pada hujung tahun.

“Begitu juga pada 2013 kita katakan belanjawan kita seimbang tetapi akhirnya belanjawan kita defisit RM122 juta,” katanya.


Pengarang :