Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PAKATAN bersama Karmaine Sardini pada Majlis Perjumpaan Jentera PRK Parlimen Tanjung Piai di Penerok, Pontian pada 31 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Serangan peribadi bukan cara saya – Karmaine

PONTIAN, 5 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak sekali-kali akan menggunakan strategi ‘serangan peribadi’ dalam kempen, hanya kerana mahu memenangi hati rakyat dan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu.

Meskipun menjadi mangsa ‘serangan peribadi’ oleh pembangkang, calon PAKATAN Karmaine Sardini, 66, bertekad tidak akan berbuat demikian, sebaliknya memastikan kempen beliau menjanjikan satu ‘pertandingan yang sihat’.

Tidak sampai dua jam selepas diumumkan menjadi calon PH, Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu bukan sahaja diperli sebagai ‘calon tua’, malah Diploma Lanjutan dalam Senibina yang diterima beliau dari Institut Teknologi Mara pada tahun 80-an turut dituduh palsu.

“Bila diserang mengenai kelulusan saya, banyak kawan yang membela saya, termasuk bekas bos saya sendiri. Yang perlu buktikan bukan saya tetapi orang yang menuduh itu.

“Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Roslin Husin sendiri turut keluarkan kenyataan dan mengesahkan saya pernah bekerja di bawahnya sebagai arkitek di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pada ketika itu dia Ketua Pengarah. Jadi bila isu ini terjawab, dah tak keluar lagi (dakwaan sebegitu),” kata beliau dalam satu temuramah bersama Bernama, di sini.

Bagi beliau, seorang ahli politik kena bersifat terbuka dan matang, serta tidak cepat melatah dengan sebarang ‘serangan peribadi’.

Yang paling penting, beliau sendiri tidak akan menggunakan strategi yang sama untuk melawan lawannya.

“Saya tak pernah selidik (latar belakang) mereka (calon-calon lain),” katanya.

Ditanya mengenai strategi PAKATAN untuk menawan 17 daripada 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang gagal ditawan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), Karmaine berkata penting untuk berjumpa dengan semua pengundi bagi menjelaskan PAKATAN adalah parti yang memerintah.

“Usaha kita sedang lakukan untuk mengekalkan kawasan yang kita menang..dalam masa yang sama berusaha untuk menawan pengundi-pengundi di 17 PDM yang lain..jadi kita akan berjumpa dengan semua pengundi dalam masa kempen ini,” kata beliau.

Karmaine menghadapi pertandingan enam penjuru melawan calon Barisan Nasional daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, selain calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Pengundian bagi PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November.

-BERNAMA


Pengarang :