AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sindiket love scam berpusat di Malaysia lumpuh

SINGAPURA, 29 NOV: Pihak berkuasa Singapura, Malaysia, Hong Kong dan Macau menjalin kerjasama hampir setahun melumpuhkan sindiket penipuan transnasional dalam talian love scam yang berpangkalan di Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).

SPF berkata, sejak Januari 2019, pegawai daripada empat agensi bekerjasama berkongsi risikan berhubung penipuan dalam talian love scam yang dilaporkan di negara masing-masing.

Agensi berkenaan adalah Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) SPF, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia, Biro Keselamatan Siber dan Biro Jenayah Teknologi (CSTCB) Pasukan Polis Hong Kong dan Bahagian Jenayah Teknologi Maklumat (ITCD) Macau Judiciary Police (MJP).

Melalui penyiasatan bersama itu, SPF berkata, sindiket yang dipercayai berada di belakang kes-kes yang dilaporkan empat agensi itu, telah dikenal pasti dan berpusat di Malaysia.

Antara 19 hingga 21 November 2019, CCID mengetuai serbuan serentak di beberapa lokasi di Malaysia dan menahan tiga lelaki Nigeria serta 11 wanita dan empat lelaki warga Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah CCID, Pesuruhjaya Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan pegawai beliau dari Bahagian Operasi dan Perisikan CCID, kerana mengetuai operasi penangkapan utama di Malaysia,” kata Pengarah CAD, David Chew dalam kenyataan hari ini.

“Kejayaan operasi bersama ini menunjukkan kesungguhan Pasukan Polis Singapura dan rakan serantaunya untuk memerangi penipuan transnasional dan menghantar isyarat kuat kepada sindiket penipuan rentas sempadan yang kami akan memusnahkan rangkaian dan menahan ahli mereka, di mana sahaja mereka bersembunyi,” katanya.

Sindiket itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 139 kes penipuan dalam talian love scam yang dilaporkan di empat agensi berkenaan, membabitkan kerugian kira-kira S$5.8 juta (S$1=RM3.06).

Di Republik itu, pegawai CAD melakukan siasatan terhadap empat wanita Singapura berusia antara 28 dan 67 tahun didakwa membantu mempermudahkan pemindahan hasil jenayah kepada sindiket tersebut.​​

Tiga puluh kes dilaporkan di Singapura membabitkan kerugian lebih S$262,000, telah diselesaikan, menurut SPF.

– BERNAMA


Pengarang :