Peserta bergambar pada Kursus Pengendalian Laman Sesawang di The Regency Tanjung Tuan Beach Resort, Port Dickson pada 1 November. Foto ihsan Facebook UNISEL
AGENSI SELANGOR

Sinergi baharu laman sesawang UNISEL

SHAH ALAM, 4 NOV: Seramai 30 pentadbir dan pensyarah daripada pelbagai fakulti serta jabatan Universiti Selangor (UNISEL) menyertai Kursus Pengendalian Laman Sesawang di The Regency Tanjung Tuan Beach Resort, Port Dickson dari 1 hingga 3 November lalu.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Redzuan Othman berkata kursus itu bertujuan meningkatkan kualiti laman sesawang universiti berkenaan supaya lebih mesra pengguna.

“Selain itu, ia bagi memudahkan akses kepada bukan sahaja pelajar serta ibu bapa, malahan orang luar yang mahu mendapatkan maklumat berkenaan UNISEL.

“Saya kagum dengan komitmen ditunjukkan kesemua pengendali laman sesawang dan berharap ia mampu memberi sinergi baharu kepada pengurusan laman sesawang di kesemua fakulti dan jabatan universiti ini,” katanya memetik status di Facebook UNISEL, semalam.

Sepanjang tiga hari kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan beberapa modul membabitkan pengendalian ‘wordpress’, sistem pengurusan kandungan dan pengendalian media oleh Pegawai Teknologi Maklumat dari Pejabat Komunikasi Korporat UNISEL, Abdullah Shamsuddin.

Dalam pada itu, Pejabat Komunikasi Korporat yang bertindak selaku peneraju utama laman sesawang universiti akan melancarkan laman sesawang baharu di peringkat fakulti dan jabatan dalam masa terdekat.


Pengarang :