Ng Sze Han (dua, kanan) melihat sisa bahan kimia bersama Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof (tiga, kiri) ketika Lawatan Tapak Pencemaran Sisa Kimia di Kampung Kandan Dalam, Puchong pada 9 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sisa bahan kimia dialih, keadaan pencemaran terkawal

PUCHONG, 9 NOV: Keadaan pencemaran di Kampung Kandan Dalam, Puchong terkawal setakat ini dan keputusan analisa sampel bahan kimia dijangka diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) minggu hadapan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, 10 daripada 300 tong mengandungi bahan kimia Glycerin Bottom didapati kosong dan sudah dialihkan supaya tidak terus tumpah ke Sungai Klang.

“Kita berjaya mengelak kemungkinan berlakunya pencemaran yang serius di Sungai Klang. Menurut siasatan, bahan kimia yang terdapat dalam tong ditemui dengan 10 daripadanya telah kosong dan bakinya masih penuh.

“Bahan kimia ditemui adalah Glycerin Bottom, sejenis bahan kimia tidak reaktif, bermaksud apabila dicampurkan dengan air tiada apa-apa reaksi tetapi ada kemungkinan juga ia akan mencemarkan sungai. Itu perkara yang kita tidak mahu berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan hampir satu jam ke tapak pencemaran bagi meninjau perkembangan terbaharu pencemaran di sini, hari ini.

Ng Sze Han (dua, kiri) mendengar penerangan Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof (kiri) ketika Lawatan Tapak Pencemaran Sisa Kimia di Kampung Kandan Dalam, Puchong pada 9 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat bersama Unit Bencana Negeri untuk menggariskan tindakan selanjutnya memandangkan pencemaran itu berlaku di atas tanah rizab sungai.

Sze Han berkata, bahan kimia berkenaan dipercayai datang dari kilang oleokimia dan sekiranya berstatus sisa terjadual, ia akan dilupuskan syarikat pelupusan sisa berjadual.

Selain itu, Pejabat Daerah Tanah (PDT) Petaling akan melakukan perobohan penempatan haram yang terdapat di situ dalam masa terdekat.

Pada 5 November lalu, JAS bersama Unit Bencana Negeri, PDT Petaling dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di tempat kejadian selepas menerima aduan mengenai pencemaran.


Pengarang :